Mata hati ialah mata bagi hati atau boleh juga dikatakan kebolehan mengenal yang dimiliki oleh hati. Kadang-kadang mata hati ini dipanggil sebagai mata dalam. Istilah ‘mata dalam’ digunakan bagi membezakan istilah ini dengan mata yang zahir, iaitu yang dimiliki oleh diri zahir. Diri zahir terbentuk daripada daging, darah, tulang, sumsum, rambut, kulit dan lain-lain. Diri zahir ini berkebolehan untuk melihat, mendengar, mencium, merasa dan menyentuh. Pusat kawalannya ialah otak yang mengawal keberkesanan deria-deria dan juga mencetuskan daya timbang atau akal fikiran. Apabila di dalam keadaan suci bersih ia dapat mendekati Tuhan. Ia juga yang menjadi tilikan Tuhan. Hati seni ini juga memiliki nyawa yang dibahasakan sebagai roh. Roh juga termasuk di dalam golongan Latifah Rabbaniah. Ia adalah urusan Tuhan dan manusia hanya mempunyai sedikit pengetahuan mengenainya. Tubuh zahir mempunyai deria-deria untuk mengenal perkara zahiriah. Deria-deria tersebut dipanggil penglihatan, pendengaran, penciuman, perasaan dan penyentuhan dan alat-alat yang bersangkutan ialah mata, telinga, hidung, lidah, tangan dan lain-lain. Tubuh seni atau diri batin juga mempunyai deria yang mengenal perkara ghaib dan deria ini dinamakan basirah atau mata hati. Ia berbeza daripada sifat melihat yang dimiliki oleh mata zahir. Mata zahir melihat perkara zahir dan mata hati syuhud atau menyaksikan kepada yang ghaib. Kekuatan suluhan mata hati bergantung kepada kekuatan hati itu sendiri. Semakin bersih dan suci hati bertambah teranglah mata hati. Jika ia cukup terang ia bukan sahaja mampu melihat kepada yang tersembunyi di sebalik rupa yang zahir di sekeliling kita malah ia mampu melihat atau syuhud apa yang di luar daripada dunia. Dunia adalah segala sesuatu yang berada di dalam bulatan langit yang pertama atau langit dunia atau langit rendah. Langit rendah ini merupakan sempadan dunia. Selepas langit dunia dinamakan Alam Barzakh. Meninggal dunia membawa maksud roh yang rumahnya iaitu jasad telah tidak sesuai lagi didiaminya atau dipanggil sebagai mengalami kematian, dibawa keluar dari langit dunia dan ditempatkan di dalam Alam Barzakh. Fungsi mata hati ialah melihat yang hakiki. Mata hati yang mampu melihat dunia secara keseluruhan sebagai satu wujud akan mengenali apa yang hakiki tentang dunia itu. Oleh sebab penyaksian mata hati bersifat tidak dapat dinyatakan secara terang maka ia memerlukan ibarat untuk mendatangkan kefahaman. Ibarat yang biasa digunakan bagi menceritakan tentang hakikat dunia ialah: “Dunia adalah seorang perempuan yang sangat tua dan sangat hodoh. Tubuhnya kotor dan berpenyakit, menanah di sana sini dan ada bahagiannya yang sudah dimakan ulat ”. Begitulah lebih kurang perasaan orang yang melihat kepada hakikat dunia dengan mata hatinya. Bagaimana rupa hakikat yang menyebabkan timbul perasaan dan ibarat yang demikian tidak dapat dihuraikan. Mata hati yang lebih kuat mampu pula menyaksikan Alam Barzakh dan mengenali satu lagi hakikat yang dinamakan keabadian, iaitu sifat hari akhirat. Kematian membinasakan jasad dan kiamat membinasakan alam seluruhnya tetapi tidak membinasakan Roh yang padanya tergantung kitab amalan masing-masing. Ahli maksiat tidak dapat diselamatkan oleh kematian dan kiamat. Ahli taat yang tidak mendapat ganjaran yang setimpal di dunia tidak binasa ketaatannya oleh kematian dan kiamat. Tanggungjawab seseorang hamba akan terus dipikulnya melepasi kematian, Alam Barzakh, kiamat, Padang Mahsyar dan seterusnya menghadapi Pemerintah hari pembalasan. Tanggungjawab itu hanya gugur setelah Hakim Yang Maha Bijaksana dan Maha Adil lagi Maha Mengetahui serta Maha Perkasa menjatuhkan hukuman. Mata hati berfungsi mengenal perkara yang ghaib. Makrifat atau pengenalan kepada keabadian atau hari akhirat akan melahirkan kesungguhan pada menjalankan amanat Allah s.w.t iaitu mengerjakan perintah-perintah-Nya dan menjauhi larangan-larangan-Nya. Makrifat mata hati yang demikian melahirkan sifat takwa dan beramal salih. Apabila takwa dan amal salih menjadi sifat seorang hamba maka masuklah hamba itu ke dalam jaminan Allah s.w.t. Dialah Tuhan yang memperlihatkan kepada kamu tanda-tanda keesaan-Nya dan kekuasaan-Nya (untuk menghidupkan rohani kamu), dan yang menurunkan (untuk jasmani kamu) sebab-sebab rezeki dari langit. Dan tiadalah yang ingat serta mengambil pelajaran (dari yang demikian) melainkan orang yang sentiasa bertumpu (kepada Allah). ( Ayat 13 : Surah al-Mu’min ) Allah s.w.t berfirman dalam Hadis Qudsi: Hamba-Ku, taatilah semua perintah-Ku, jangan membeber keperluan kamu. Hamba yang buta mata hatinya akan melakukan perkara yang berlawanan iaitu dia tekun dan rajin di dalam mencari rezeki yang dijamin oleh Allah s.w.t tetapi dia mencuaikan terhadap tanggungjawab yang diamanatkan oleh Allah s.w.t. Orang ini akan menggunakan daya usaha yang banyak untuk memperolehi rezeki yang boleh didapati dengan daya usaha yang sederhana tetapi menggunakan daya usaha yang sedikit dengan harapan untuk mendapatkan sesuatu yang tidak mungkin didapati kecuali dengan daya usaha yang gigih dan perjuangan yang hebat iaitu pahala-pahala bagi amal salih. |
Sunday, January 2, 2011
NASIHAT KEPADA MATA HATI YANG BUTA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)




0 comments:
Post a Comment