Pages

Saturday, November 5, 2011

Penghayatan Hariraya Korban





Aidil Adha disebut juga Hari Raya Korban atau Hari Raya Haji. Ketika itu, sejak malam 10 Zulhijjah hingga 13 Zulhijjah, ummat Islam di seluruh dunia menyambut hari yang mulia ini dengan takbir, tauhid dan tahmid.


Bagi mereka yang ada kemampuan disembelih korban dan dengannya di bahagi-bahagikan terutama sekali kepda fakir miskin, sebagai tanda pengabdian yang tulus dan ikhlas dengan niat mencari keredhaan Allah.


Ibadah haji salah satu rukun Islam yang wajib kepada mereka yang mampu sekali seumur hidup. Di dalamnya banyak terkandung pelajaran, pendidikan dan pengalaman yang sangat berguna bagi kita yang mengerjakannya,

Allah berfirman yang maksudnya:
“Dan serulah kepada manusia untuk mengerjakan haji, nescaya mereka akan datang kepadamu dengan berjalan kaki dan mengendarai unta yang kurus (kerana jauh perjalanan) yang datang dari segenap penjuru yang jauh . Supaya mereka menyaksi berbagai-bagai manfaat bagi mereka dan supaya mereka menyebut nama Allah anugerahkan kepada mereka, berupa binatang ternak. Maka makanlah sebahagian daripadanya dan berikanlah makan orang-orang yang sengsara dan fakir.”
(Surah Al-Hajj:27-28)

Berbagai-bagai manfaat dapat kita perolehi apabila kita menunaikan ibadah haji secara baik menurut peraturan-peraturan yang telah ditetapkan, antaranya ialah:

Dapat menanamkan rasa ukhuwwah Islamiyah sedunia, menanamkan rasa persamaan, mendidik rohani dan jasmani kita supaya tabah dan sabar dalam menghadapi segala kesukaran didalam mengerjakan sesuatu perkara, dapat menambah pengetahuan dan pengalaman untuk mempelajari adat istiadat dan keadaan bangsa-bangsa lainnya dari seluruh dunia.

Yang datang menunaikan ibadah haji itu terdiri dari ummat Islam dari berbagai-bagai bangsa dan suku dan dari berbagai-bagai tingkat. Walaupun demikian, dihadapan Allah, mereka sama-sama hamba Allah, sama-sama berpakaian ihram bagi lelaki, iaitu pakaian yang tidak berjahit serba putih yang sehelai disarungkan dan sehelai yang lainnya diselempangkan menutupi sebahagian tubuh.

Padang Arafah merupakan tempat mereka berkumpul, kaya dan miskin,pegawai tinggi ataupun rendah, semuanya bersaudara, merupakan satu ummat yang bersatu padu di bawah kalimah ‘Lailaahaillallah, Muhammadurrasulullah.”

Alangkah gembiranya hati jika memandang betapa banyaknya mereka yang datang ke tanah suci, semuanya memohon kepada Ilahi Rabbi semoga dilimpahi kurnia menurut apa yang mereka hajatkan. Dikala itu, berkumandanglah ucapan zikir, talbiah, tasbih, tahlil, tahmid, doa dan sebagainya.

Penyembelihan korban yang dilakukan pada hari Raya Aidilaldhamerupakan pengorbanan yang telah diberikan oleh nabi Ibrahim alaihissalam dan anakandanya Ismail a.s.

Sewaktu Ismail telah dewasa dan dapat menolong ayahandanya, maka Allah telah menguji mereka berdua sebagaimana yang di ceritakan oleh Allah,

“Ketika anak itu pandai berusaha (dewasa), berkatalah Ibrahim:”Hai anakku, sesungguhnya aku melihat dalam mimpiku bahawa aku menyembelih engkau, maka fikirkanlah, apa pendapatmu?” Ia menjawab: Wahai ayahku, laksanakanlah apa yang diperintahkan itu, Insyaallah ayah akan mendapati aku termasuk orang-orang yang sabar.”
“Tatkala kedua-duanya telah berserah diri dan Ibrahim membaringkan anaknya di atas pelipisnya, dan Kami panggilah dia: “Hai Ibrahim, sesungguhnya kamu telah membenarkan mimpi itu, sesungguhnya demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik. Sesungguhnya ini benar-benar suatu ujian yang nyata. Dan kami tebus anak itu dengan seekor sembelihan yang besar.”
(Surah As Sooffat:102-107)

Inilah sebahagian daripada pengorbanan yang telah diberikan oleh Nabi Ibrahim dan Ismail dalam mematuhi perintah Allah atau dengan kata lain pengorbanan seorang ayah yang mendapat perintah untuk menyembelih anaknya sendiri yang sangat dikasihi dan Ismail sebagai seorang anak yang taat dan setia di atas perintah Allah dan dengan tidak ragu-ragu meminta supaya ayahnya melaksanakan perintah itu dengan segera.

Akan tetapi Allah tidaklah seekejam itu, Allah Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Hanya itu merupakan satu cubaan daripada Allah terhadap hamba-hambanya sampai ke mana kecintaan dan ketaatan hamba itu akan terbukti di dalam menempuh cubaan dan dugaan. Kerana Nabi Ibrahim dan Ismail telah lulus dalam menempuh cubaan itu, maka Allah menggantikan Ismail dengan seekor sembelihan.

Semoga dalam menyambut Aidiladha dapatah kita hayati hikmah-hikmah yang terkandung di dalamnya. Mudah-mudahan Allah menyatukan kembali seluruh hati ummat Islam yang sedang berada di tebing bahaya kemusnahan.

Semoga kita semua sedia untuk berkorban demi kepentingan ummat Islam, dan terciptanya kembali keagungan Islam dan ummatnya.

Tuesday, October 4, 2011

gubal soalan hafazan 2012






Hotel Carlton Shah Alam
3 hingga 6 oktober 2011

Tuesday, August 30, 2011

Sebuah Kemerdekaan


Kemerdekaan sebuah negara adalah nikmat terbesar kurniaan Allah yang bukan semua manusia dapat merasainya. Berapa ramai umat dan bangsa yang mendiami dunia ini semenjak daripada dahulu hinggalah sekarang, tidak berhenti-henti bejuang hanyalah untuk sesuatu yang dinamakan kemerdekaan. Tetapi hingga kini, masih ramai dikalangan bangsa yang masih belum kenal erti kemerdekaan. Kehidupan mereka zahir dan batin terbelenggu dalam penjajahan.Segala-galanya disekat dan dijajah termasuklah kehidupan untuk beragama dan tunduk kepada Allah Ta'ala dengan penuh ketenangan.

Berjihad dan berkorban dengan jiwa dan raga untuk memerdekakan negara dari belenggu penjajahan adalah di antara sifat-sifat yang mulia dan disanjung tinggi oleh Islam. Oleh itu, dalam mengenang kembali sejarah kemerdekaan negara kita , generasi yang hidup di zaman ini janganlah melupakan pengorbanan para pejuang kemerdekaan yang telah membuka jalan ini kepada kita. Disebabkan cetusan semangat para pejuang inilah maka kita dapat hidup di zaman ini dan merasai nikmat perjuangan mereka. Justeru itu, sebagai umat yang berhemah tinggi dan berakhlak, kita merasa terpanggil untuk menghormati dan mengenang kembali jasa pahlawan tanah air sama ada yang masih hidup atau yang telah gugur di medan perjuangan.

Kedatangan Islam sendiri ke alam dunia ini membawa mesej dan sifat kemerdekaan. Islam menyeru manusia supaya membebaskan diri dan pemikiran mereka daripada belenggu jahiliah dan kemusyrikan terhadap Allah Ta'ala, membebaskan diri daripada perhambaan dan membebaskan negara daripada cengkaman musuh.

Islam dalam erti kata kesejahteraan, kedamaian dan keamanan semuanya menjurus kepada maksud kemerdekaan. Hakikat ini dapat kita lihat semasa perkembangan awal Islam di mana Rasulullah Sallallahu 'alaihi Wasallam telah membawa kemakmuran kepada Negara Madinah dan memerdekakan Kota Mekah daripada cengkaman kafir Quraisy. Begitu juga perkembangan di zaman Khulafa' ar-Rasyidin yang banyak memerdekakan negara dari cengkaman kekufuran.

Islam juga yang bersifat merdeka dalam erti kata yang lain bermaksud bebas daripada keruntuhan akhlak dan kemurkaan Allah. Lantaran itu, Islam talah berjaya menyelamatkan tamadun manusia daripada sistem perhambaan, sama ada perhambaan sesama manusia ataupun perhambaan terhadap hawa nafsu yang diselaputi oleh syirik, kekufuran, kemungkaran dan kemaksiatan.

Seorang penyair Arab yang bernama Ahmad Syauqi berkata dalam syairnya yang bermaksud:
"Kekalnya bangsa kerana mulianya akhlak, runtuhnya bangsa kerana runtuhnya akhlak"

Justeru itu, umat Islam hendaklah sentiasa berazam untuk membebaskan diri daripada sifat-sifat yang boleh meruntuhkan wibawa kamanusiaan kerana sifat-sifat yang demikian itu amat dimurkai Allah dan akan hanya menyebabkan manusia terpenjara di bawah arahan nafsu dan telunjuk syaitan. Dan lebih jauh dari itu, kita hendaklah sentiasa memohon keampunan daripada Allah Ta'ala agar mendapat keredhaanNya dan terlepas daripada siksaan api neraka yang bahan bakarnya terdiri daripada manusia dan batu-batan. Inilah dia nilai sebenar kemerdekaan yang diajarkan oleh agama kita.

Monday, August 29, 2011

Sejarah Aidil Fitri



SEJARAH hari raya dalam Islam bermula apabila Rasulullah berhijrah ke Madinah. Baginda mendapati ada dua hari raya yang disambut oleh bangsa Arab pada masa itu. Apabila Rasulullah bertanya kepada mereka apakah dua hari raya itu, mereka segera menjawab bahawa dua hari raya yang mereka sambut itu adalah perayaan yang diwarisi secara turun temurun daripada datuk nenek mereka.

Lalu Rasulullah menyatakan kepada orang Arab Madinah bahawa Islam menggantikan dua hari raya yang kamu raikan itu dengan dua hari yang lebih bermakna iaitu Hari Raya korban atau Aidiladha dan Hari Raya Fitrah atau Aidilfitri. Nabi saw memberitahu mereka, "Sesungguhnya Allah swt telah mengurniakan 2 hari yang mempunyai kebaikan di dalamnya, iaitu hari Eidul-Fitr dan hari Eidul-Adha." Riwayat Abu Daud, 1134

Sabda Nabi saw kepada Abu Bakar r.a., "Setiap kaum ada perayaan, dan ini adalah perayaan kita" (Riwayat Bukhari dan Muslim). Hadis ini merujuk kepada 2 perayaan Eid yang khusus bagi orang Islam.

Konsep hari raya dalam Islam jelas menunjukkan bahawa ia adalah perayaan keagamaan. Ini bermakna jika ia disambut di atas landasan agama, maka hari raya yang diraikan itu adalah satu ibadat.

Aidilfitri disambut sebagai suatu kemenangan bagi orang yang dapat mengerjakan ibadat puasa Ramadan dengan sempurna. Kemenangan itu bukan saja menang kerana berjaya mengawal nafsu makan dan minum selama sebulan pada siang hari sepanjang Ramadan, malah kejayaan menghalang diri daripada melakukan perkara dilarang, iaitu jika dilakukan akan terbatal puasanya. Lantaran itu Allah menganugerahkan satu hari untuk kita sama-sama meraikan kejayaan daripada kemenangan itu.

Kalimat 'fitri' sendiri bermaksud fitrah iaitu dengan kejayaan manusia balik kepada fitrah yang asal`Aidul Fitri berasal dari perkataan`aid adalah diambil dari kata al-`audu (kembali). Fitrah asal ini sebenarnya suatu permulaan kejadian manusia yang sememangnya bersih daripada dosa dan noda.

Oleh kerana ia dikatakan sebagai perayaan keagamaan, maka cara menyambut hari raya itu sendiri perlulah mengikut adab dan peraturan tertentu. Apabila saja diumumkan hari raya, maka mulakanlah malamnya dengan aktiviti ibadat. Ini seperti memperbanyakkan solat sunat, bertasbih, bertakbir dan bertahmid sebagai tanda kesyukuran.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan Tabrani dari Ubadah bin Soib menyatakan bahawa: "Sesiapa yang menghidupkan malam Aidilfitri dan Aidiladha dengan amalan yang baik dan ikhlas kerana Allah, maka tidak akan mati hatinya pada hari semua hati-hati akan mati, iaitu hari kiamat."

Friday, August 12, 2011

Tazkirah Ramadhan

4 perkara yang perlu diberi keutamaan dan diperbanyakkan dalam bulan Ramadhan ni.
4 perkara itu ialah :

1. mengucapkan kalimah tauhid La ilahailallah.
2. beristighfar.
3. berdoa memohon syurga Allah.
4. berdoa mohon perlindungan dari neraka jahanam.
Marilah kita sama-sama memakmurkan bulan ramadhan ini dengan melipatgandakan segala amal agar apabila ramadhan berakhir kita tidak merasa kerugian.

Monday, May 23, 2011

Jejak langkah Syaitan

يَاأَيُّهَا النَّاسُ كُلُوا مِمَّا فِي الأرْضِ حَلالا طَيِّبًا وَلا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُبِينٌ }

البقرة: 168


168. Wahai sekalian manusia! makanlah dari apa Yang ada di bumi Yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan; kerana Sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh Yang terang nyata bagi kamu.

Diantara jejak langkah syaitan ialah membawa manusia untuk mengambil makanan yang tidak halal. kesan makanan yang tidak halal kepada manusia sangat buruk terutama kepada orang mukmin.

diantaranya ;

a. Perintah Tuhan

Sebab utama mengapa perlu memakan makanan yang halal ialah kerana memang itu sudah diperintahkan Tuhan kepada kita.

Di dalam Al-Quran, Allah berfirman maksudnya:
“Wahai sekalian manusia ! Makanlah daripada apa yang ada di bumi, yang halal yang baik (halalan tayyiban)".
(Surah al-Baqarah: 168)

Dalam ayat yang lain, Allah menyatakan:
“Wahai orang-orang yang beriman ! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu". (Surah al-Baqarah: 172)

Rasulullah menegaskan juga di dalam sabdanya: “Mencari yang halal adalah fardhu (wajib) bagi setiap orang Islam.” (Riwayat Dailami)


b. Mengelakkan daripada azab Neraka

Memakan makanan yang halal boleh mengelakkan seseorang itu daripada ditimpa azab di Akhirat.

Maksud Hadis: Daging yang tumbuh daripada makanan yang haram, maka neraka lebih layak baginya. (Riwayat Thabrani)

c. Doa makbul(penerimaan Allah terhadap doa yang dipohon

Orang yang makan makanan halal, doanya makbul berbeza dengan orang yang makan makanan haram, terhijab doanya dengan Tuhan.


Rasulullah bersabda; “Baguskanlah makanan engkau nescaya adalah engkau orang yang diperkenankan permintaan.” (Riwayat Thabrani)


d. Diterima sesuatu Amalan

Memakan makanan yang halal akan menjadi sebab amalan diterima. Sebaliknya makanan yang haram itu, membuatkan amalan kita tidak diterima Tuhan.

Sabda Rasulullah: “Demi (Allah) yang diri Muhammad ditanganNya, sesungguhnya seorang hamba yang memasukkan sesuap makanan haram ke dalam perutnya, tiada diterima Allah amal darinya empat puluh hari.” (Riwayat Thabrani)


e. Hati bersih

Memakan makanan yang halal akan menjadi sebab kepada pembentukan hati seseorang. Ini sepertimana disabdakan oleh Rasulullah: “Hati yang bersih ditempa daripada makanan yang bersih (halal).”

Tuesday, February 8, 2011

Islam Kembali Dagang.

Abu Hurairah r.a. berkata: Bersabda Rasulullah saw, “Islam mula tersebar dalam keadaan dagang (asing). Dan ia akan kembali asing pula. Maka beruntunglah orang orang yang asing”.

H.R. MUSLIM

Keterangan:

Islam mulai tersebar di Mekkah dengan keadaan yang sangat asing dan dagang. Sangat sedikit penganut dan pendukungnya kalau dibandingkan dengan penentangnya. Kemudian setelah itu Islam tersebar ke seluruh pelusuk dunia sehingga dianuti oleh dua pertiga penduduk dunia. Kemudian Islam kembali asing dan dirasa ganjil dari pandangan dunia, bahkan pada pandangan orang Islam sendiri. Sebahagian daripada orang Islam merasa ganjil dan pelik bila melihat orang Islam yang iltizam (komitmen) dengan Islam dan cuba mengamalkan tuntutan Islam yang sebenar. Seorang yang iltizam dengan Islam dipandang sepi oleh masyarakat dan terlalu susah untuk diterima sebagai individu yang sihat. Contohnya, kalau ada sesuatu program kemasyarakatan kemudian masuk waktu sembahyang, tiba-tiba ada seorang yang meminta diri untuk menunaikan sembahyang, maka tindakan ini dianggap tidak sopan dan kurang wajar. Sedangkan orang yang tidak bersembahyang sambil bersenda-senda ketika orang lain bersembahyang tidak dianggap sebagai perbuatan yang salah dan terkutuk.

Begitulah seterusnya nasib lslam di akhir zaman. Ia akan terasing dan tersisih dari masyarakat, bahkan tersisih dari pandangan orang Islam sendiri yang rnengaku sebagai umat Islam dan marah apabila dikatakan yang dia bukan orang Islam.oleh itu wahai umat yang masih ada iman dalam dada mereka,berhati-hatilah dengan keseronokkan dunia.. ianya indah dimata tetapi dunia ini akan menjadi musuh yang sangat jahat jika kita leka dan termakan dengan pujukkannya.

Friday, January 28, 2011

Ilmu menjadikan kita takut kepada Allah


Ketahuilah, bahawa sebaik-baik ilmu ialah ilmu yang menjelmakan perasaan takut kepada Allah SWT. Iaitu, takut yang disertai perasaan membesarkan Allah dan menumbuhkan amal. Allah SWT telah memuji para ulama melalui firman-Nya: Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hamba-Nya hanyalah orang-orang yang berilmu. (al-Faatir: 28)

Inilah ilmu yang paling bermanfaat kerana ilmulah yang memandu kita ke jalan akhirat. Kalam hikmah ini diungkapkan oleh Sheikh Ibnu Atoillah al Sakandari r.a dalam Hikamnya yang bertajuk al Hikam al Atoiyyah.

Terbukti, kalam hikmahnya ini telah mampu melunakkan hati yang keras, menenangkan jiwa yang resah, mengekang nafsu yang rakus dan mengajak manusia menyelami hikmah-hikmah di sebalik kejadian Allah SWT. Semoga kita mendapat manfaat daripadanya.

Adapun orang alim yang tidak mempunyai perasaan takut kepada Allah bukanlah orang alim yang sebenarnya.

Lebih-lebih lagi, orang alim yang keinginannya untuk mendapatkan kemewahan dunia, kemegahan dan bersikap takbur dengan ilmunya.

Ilmu sebegini hanya akan menjadi hujah ke atasnya di akhirat kelak dan sebab yang akan mengundang bala dan akibat yang buruk kepadanya.

Umar ibn al Khattab r.a pernah berkata, “Perkara yang paling aku takuti berlaku terhadap umat ini ialah munculnya orang yang alim pada lisan tetapi jahil pada hati”.

Ini bukanlah ciri-ciri pewaris para nabi kerana pewaris para nabi memiliki sifat zuhud terhadap dunia, berminat terhadap akhirat, ikhlas menyampaikan amanah ilmu dan bertakwa.

Orang yang memiliki ilmu yang bermanfaat, tidak memiliki sifat bongkak atau takbur, tidak suka mencaci orang lain, berlapang dada, mudah diajak berbincang dan tidak cepat melatah.

Sahl ibn Abdullah r.a pernah berkata: “Janganlah kalian memutuskan satu urusan dari urusan-urusan dunia dan agama kecuali setelah berbincang dengan ulama. Maka kesudahannya akan dipuji di sisi Allah SWT”.

Abu Muhammad r.a pernah ditanya: “Wahai Abu Muhammad! Siapakah ulama?” Jawabnya: “Orang-orang yang mengutamakan akhirat daripada dunia dan mengutamakan Allah daripada diri mereka sendiri”.

Saidina Umar ibn al Khattab r.a pernah mewasiatkan: “Berbincanglah mengenai urusanmu dengan orang-orang yang takutkan Allah”.

Al Wasiti r.a berkata: “Manusia yang paling pengasih ialah ulama, kerana perasaan takut mereka kepada Allah dan kebimbangan mereka terhadap apa yang diajar oleh Allah SWT”.

Banyak ayat dan hadis yang menyebut tentang kemuliaan ilmu atau ulama. Rasulullah SAW pernah bersabda: “Penuntut ilmu dijamin oleh Allah rezekinya”.

Ketahuilah, bahawa ilmu yang diulang-ulang sebutannya di dalam al-Quran dan hadis Nabi SAW ialah ilmu yang bermanfaat yang disertai oleh perasaan takut kepada Allah. Bahkan, ilmu yang bermanfaat juga ialah ilmu yang mampu menguasai nafsu dan mengekang syahwat.

Disebut juga, ilmu yang bermanfaat ialah ilmu yang membantu pemiliknya mentaati Allah, dan berdiri di atas landasan agama Allah.

Sebahagian Salaf berkata: “Sesiapa yang bertambah ilmunya, maka bertambah jugalah kekhusyukannya (kerendahan hatinya)”.

Seorang lelaki bertanya kepada Sheikh Junaid al Baghdadi r.a: “Apakah ilmu yang paling berguna?” Jawabnya, “Ilmu yang menunjukkan kamu kepada Allah SWT dan menjauhkan kamu daripada menurut hawa nafsumu”.

Beliau berkata lagi: “Ilmu yang bermanfaat ialah ilmu yang menunjukkan pemiliknya kepada sifat tawaduk, sentiasa bermujahadah, menjaga hati, menjaga anggota zahir dari melakukan maksiat, takut kepada Allah, berpaling daripada dunia dan penuntut dunia, menjauhi orang-orang yang mengasihi dunia, meninggalkan apa yang ada di dunia kepada ahli dunia, suka memberi nasihat kepada makhluk, baik perilaku terhadap makhluk, suka duduk bersama golongan fuqara, memuliakan kekasih-kekasih Allah dan menghadapkan diri kepada apa yang mereka utamakan.

“Apabila orang alim yang mencintai dunia dan ahlinya, dan mengumpulkan dunia melebihi daripada keperluannya, maka dia akan lalai daripada akhirat dan ketaatan kepada Allah mengikut kadar kecintaannya kepada dunia”.

Allah SWT berfirman (maksudnya): Mereka hanya mengetahui perkara yang zahir nyata dari kehidupan dunia sahaja, dan mereka tidak pernah ingat hendak mengambil tahu tentang hari akhirat. (al-Rum: 7)

Rasulullah SAW bersabda: “Siapa yang kasihkan dunia, maka dia telah membahayakan akhiratnya dan siapa yang kasihkan akhirat maka dia telah membahayakan dunianya. Justeru ingatlah, utamakanlah suatu yang kekal (akhirat) daripada yang akan rosak binasa (dunia)”. (riwayat Imam Ahmad dan al Hakim)

Fudhail ibn ‘Iyadh berkata: “Orang alim ialah doktor agama dan cinta dunia ialah penyakit agama. Apabila doktor telah memasukkan atau mengheret penyakit ke dalam dirinya, maka bilakah masanya dia boleh mengubati orang lain”.

Sesiapa yang ilmunya memandunya kepada menuntut dunia, ketinggian di dalamnya, jawatan dan pandangan makhluk, maka ia adalah ilmu yang tidak bermanfaat. Bahkan, dia tertipu dengan ilmunya.

Tidak ada kerugian yang lebih besar daripada rosaknya orang alim dengan ilmunya yang diharapkan dapat menyelamatkannya. Kami memohon dengan Allah daripadanya.

Ilmu yang bermanfaat juga ialah ilmu yang diamalkan. Ulama mengumpamakan orang yang menghabiskan banyak waktu menuntut ilmu, duduk selama 40 atau 50 tahun belajar tanpa beramal, seperti orang yang asyik bersuci selama waktu itu dan memperbaharui wuduknya tetapi tidak solat walau satu rakaat.

Monday, January 24, 2011

7 sebab saintis mengakui kewujudan Allah SWT

Pertama, dengan menggunakan hukum matematik kebarangkalian, kita boleh membuktikan bahawa alam ini telah direkabentuk dan dicipta dengan kejuruteraan yang maha bijaksana. Jika anda ambil 10 keping wang syiling dan tandakan dari 1 hingga 10, kemudian masukkan ke dalam poket anda dan gaulkan syiling2 tersebut. Sekarang anda cuba anda mengambilnya secara teratur dari no. 1 hingga 10 dan masukkan kembali syiling2 tersebut dan gaulkan mereka kembali, Secara matematik, kita tahu bahawa kebarangkalian anda untuk mendapatkan syiling bernombor 1 adalah 1 dalam 10, peluang untuk mendapatkan no. 1 dan no. 2 secara berturutan adalah 1 dalam 100 dan peluang untuk mendapatkan 1, 2 dan 3 secara berturutan secara berterusan adalah 1 dalam 1000 dan begitulah seterusnya. Peluang anda untuk mendapatkan no. 1,2,3,4,5,6,7,8,9 dan 10 secara berterusan adalah 1dalam 10 juta kali.

Mengikut kaedah yang sama, terlalu banyak keadaan yang ideal dan optima yang diperlukan di dalam kehidupan di atas bumi ini dan ianya pasti tidak akan wujud jika ianya terjadi dengan sendirinya, Bumi berpusing pada paksinya pada kelajuan 1,000 batu sejam. Jika ianya berpusing pada kelajuan 100 batu sejam, hari2 dan malam2 bumi akan menjadi 10 kali lebih lama dari sekarang,dan kepanasan matahari akan membakar seluruh tumbuhan pada waktu siang dan pada waktu malam pula, kehidupan yang ada ini akan membeku.

Matahari, sumber kehidupan ini, mempunyai suhu permukaan sebanyak 12,000 darjah Fahrenheit dan dunia ini mempunyai jarak yang optima jika dibandingkan dengan matahari supaya pancaran matahari sekadar cukup untuk memanaskan dan tidak terlalu berlebihan. Jika matahari memancar cahaya dengan kadar sebanyak 50% kurang dari yang ada sekarang, kita akan kebekuan dan jika ianya memancarkan 50% lebih pancaran, kita akan terbakar.

Kecondongan bumi sebanyak 23 darjah memberikan bumi 4 musim, jika bumi tidak condong sebanyak itu, wap dari lautan akan bergerak menuju utara dan selatan dan akan menyebabkan benua2 akan menjadi benua air batu. Jika bulan yang kita ada sekarang cuma berjarak sejauh 50,000 batu dari bumi dari jarak sebenarnya sekarang, air pasang surut dari lautan akan menjadi terlalu besar di mana dalam 2 kali sehari, seluruh benua di bumi akan ditenggelami air dan gunung ganang pun akan terhakis sama sekali. Jika lapisan teras bumi menjadi 10 kaki lebih tebal dari yang ada sekarang, ianya akan menyebabkan tiada lagi oksigen yang akan wujud di mana semua kehidupan akan mati. Jika lautan menjadi beberapa kaki lebih dalam dari yang ada sekarang, karbon dioksida dan oksigen akan terlarut semuanya di dalam lautan dan akan menyebabkan tiada tumbuhan lagi akan wujud. Atau jika atmosfera kita menjadi semakin tipis, sebahagian dari meteor akan terbakar di angkasa dan di bumi sebanyak berjuta2 kali dalam sehari dan akan mengenai bumi dan menyebabkan kebakaran di mana-mana jua. Disebabkan alasan-alasan di atas, tidak ada kemungkinan satu dalam berjuta-juta pun bahawa kehidupan di atas planet bumi ini terjadi secara kebetulan.

Kedua: Keadaan kehidupan itu sendiri untuk menyempurnakan tujuan kehidupan itu sendiri adalah menesfitasi akan kewujudan yang maha bijaksana. Kehidupan itu sendiri, tiada manusia yang benar2 mengerti tentang pengertiannya. Ianya tidak mempunyai berat atau dimensi, tetapi ianya mempunyai kekuatan dan daya: akar yang hidup akan memecahkan batu.

Kehidupan telah menguasai air, daratan dan udara, telah menguasai elemen dan telah membentuk dan melarutkan elemen dan membuat perubahan kepada kombinasi mereka. Kehidupan, pencipta yang telah membentuk semua kehidupan yang ada,artis yang merekabentuk setiap daunan untuk setiap pohonan dan mewarnakan setiap bunga yang ada. Kehidupan adalah ibarat pemuzik dan membuat setiap burung mempunyai lagu2 cinta mereka sendiri, serangga akan memanggil sesama mereka dalam nada beraneka mereka sendiri.

Kehidupan adalah ahli kimia yang agung, memberi rasa kepada setiap buah-buahan dan rempah ratus, dan memberi bauan kepada mawar dan bunga-bungaan lainnya, merubah air dan asid karbonik menjadi gula dan kayu dan dengan membuat demikian,menghasilkan oksigen agar setiap haiwan dapat hidup benafas. Awas, setiap tumpahan protoplasma yang hampir tidak kelihatan, lutsinar dan berbentuk seperti agar2 mampu bergerak dan mandapatkan tenaga dari cahaya matahari. Kehidupan satu sel ini menyimpan mikro-organisma kehidupan itu sendiri dan mempunyai tenaga untuk mengagih-agihkan kehidupan kepada setiap benda bernyawa amat berkuasa tetapi telalu kecil. Kuasa pada setiap tumpahannya adalah lebih besar dari tumbuhan, haiwan dan manusia itu sendiri, kerana setiap kehidupan adalah bermula darinya. Alam semula jadi tidak dapat mencipta kehidupan: batu-batuan yang panas dan kemasinan laut tidak dapat memenuhikeperluan kehidupan.

Tetapi,siapakah yang telah mengwujudkan kehidupan itu sendiri?

Ketiga: Kebijaksanaan haiwan itu sendiri telah menyuarakan akan keagungan maha pencipta yang mamasukkan naluri kedalam haiwan. Ikan Salmon menghabiskan beberapa tahun usianya di dalam lautan, akhirnya akan kembali kepada asal usul sungainya: akan berenang untuk kembali kepada sungai dan habitat di mana ia telah dilahirkan. Apakah yang menyebabkan mereka kembali ke tempat asal mereka dengan begitu tepat sekali?

Jika anda mengubah ikan tersebut kepada habitat lain, ikan ini akan mengetahui bahawa dia telah tersalah haluan dan akan berusaha sekali lagi untuk berenang menentang harus untuk menghabiskan destinasinya dengan lebih tepat lagi. Adalah lebih sukar lagi untuk menyelesaikan misteri kehidupan belut. akhluk ajaib ini berhijrah apabila mencapai umur matang dari setiap kolam dan sungai di mana-mana merata dunia – dari Eropah akan menyeberangi beribu-ribu batu lautan – semuanya akan berkumpul pada lubuk yang dalam berdekatan laut Bermuda. Di sana mereka akan mengawan dan mati. Anak2 belut tanpa pengetahuan yang kita tahu kecuali hidup liar dalam lautan, walau bagaimanapun akan mengetahui jalan pulang mereka bukan sahaja persisiran pantai di mana ibu bapa mereka berasal ahkan sampai kepada setiap sungai atau kolam kecil di mana mereka berasal – menyebabkan setiap bahagian air akan sentiasa didiami oleh belut. Tiada belut Amerika yang ditangkap di Eropah dan begitu juga sebaliknya. Alam semulajadi juga telah melengahkan kematangan belut Eropah selama setahun atau lebih untuk enghabiskan jarak perjalanannya yang lebih panjang.

Dari manakah asalnya deria pengemudian mereka ini?

Keempat: manusia mempunyai lebih lagi dari naluri kehaiwanan – keupayaan untuk berlogika. Tiada haiwan yang berkebolehan untuk mengira dari 1 hingga 10 atau untuk memahami pengertian nombor-nombor itu. Di mana naluri ini adalah seumpama nota tunggal kepada seruling, indah tetapi terhad, otak manusia mempunyai kesemua nota-nota untuk semua peralatan dalam sebuah orkestra. Tidak perlu untuk menerangkan lebih lanjut tentang alasan yang keempat ini, terima kasih kepada manusia, logika ini menyebabkan manusia seperti manusia yang ada sekarang yang menerima secebis atau sedikit cetusan dari kebijaksanaan universal yang maha bijaksana.

Kelima: Kewujudan semua benda bernyawa adalah hasil dari fenomena yang diketahui pada masa ini dan tidak pada masa Darwin – keajaiban gen. Terlalu penting bagi gen yang bertanggungjawab terhadap semua manusia hidup di dalam dunia ini jika dikumpulkan di dalam suatu tempat,ruangan yang akan diambil oleh mereka tidak akan lebih dari ruangan yang diambil oleh satu jari manusia. Namun begitu, mikroskopik gen ini dan yang sebangsa dengannya kromosom, tinggal di dalam setiap sel hidup dan merupakan kunci kepada semua ciri-ciri manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Satu ruangan jari manusia adalah ruangan yang kecil untuk memenuhi kesemua ciri-ciri manusia seramai dua billion orang. Walau bagaimanapun, fakta ini tidak boleh dipersoalkan lagi. Lantas bagaimanakah gen ini mengunci ciri-ciri warisan manusia dari berbagai peringkat generasi manusia dan mengekalkan psikologi setiap individu di dalam suatu ruangan yang agak kecil?. Di sini evolusi benar-benar bermula dari satu sel yang entitinya mewarisi dan membawa gen-gen. Bagaimana beberapa juta atom, terkunci sebagai mkiroskopik lampau, boleh menguasai dunia dan ianya merupakan contoh ciri-ciri yang berasal dari Kebijaksanaan Maha Agung – hipotesis dari mana lagikah yang mampu membuat ciptaan yang sedemikian rupa?

Keenam: Melalui ciri-ciri ekonomikal, kita terpaksa mengakui bahawa hanya dengan kebijaksanaan yang tidak terbatas telah melihat dan menyediakan satu sistem pengurusan sumber yang maha bijaksana. Beberapa tahun lampau satu spesis kaktus telah ditanam di Australia sebagai pagar-pagar penghalang.

Oleh kerana tidak mempunyai serangga pemusuh di Australia, pokok-pokok kaktus ini kemudiannya membiak dengan kadar yang amat tinggi sehinggakan tumbuhan ini telah memenuhi kawasan sepanjang dan sebesar England, menghalau inhabitan ke Bandar-bandar dan perkampungan, dan memusnahkan ladang-ladang. Sebagai usaha perlindungan, pakar tumbuhan dan serangga telah menjumpai sejenis serangga yang hanya semata-mata memakan pokok kaktus ini.Ianya membiak secara bebas dan tidak mempunya musuh di Australia. Serangga ini kemudiannya menguasai tumbuhan ini dan bahaya kemaraan pohonan kaktus telah berjaya dikawal hanya dengan menggunakan serangga mampu untuk mengawal pohonan kaktus untuk selamanya. Ciri-ciri kawal dan periksa (check and balance) telah lama wujud pada alam maya ini.

Mengapakah tidak ada serangga yang pantas memakan menguasai dunia ini? Ini adalah kerana meraka tidak memempunyai paru-paru seperti yang ada pada manusia, mereka bernafas melalui tiub-tiub pernafasan. Bila serangga bertambah besar, tiub-tiub pernafasan mereka tidak membesar dengan nisbah pembesaran tumbuh mereka. Oleh kerana itu, tidak pernah ada serangga yang mempunyai tubuh yang besar dimana had-had pembesaran ini telah mengekang mereka semuanya di dalam kawalan. Jika ciri-ciri pengawalan ini tidak tersedia, manusia tidak akan wujud, bayangkan kita bertemu dengan serangga yang sebesar singa!

Ketujuh: Kenyataan manusia menerima konsep kepercayaan kepada tuhan itu sendiri adalah bukti yang paling unik. Konsep ketuhanan terhasil dari tahap-tahap manusia itu sendiri, tahap yang dipanggil sebagai pemikiran.

Dengan kekuatan daya ini, manusia dan hanya manusia mampu untuk mencari bukti perkara-perkara yang ghaib. Kekuatan ini telah mengungkap segala rahsia: sesungguhnya manusia adalah sesempurna penciptaannya maka pemikiran telah menjadi kenyataan kerohaniaan. Pemikiran mampu mengesan bukti-bukti penciptaan dan tujuan penciptaan yang hakiki dan tuhan adalah segala-galanya dan tuhan tidak pernah lebih dekat melainkan dengan jiwa manusia itu sendiri. Perkara ini adalah benar dari segi saintifiknya dan juga dari segi pemikiran yang mengungkap keagungan tuhan dan ciptaannya.

Friday, January 14, 2011

11 ORANG SENTIASA DI DOA OLEH MALAIKAT

1. Orang yang tidur dalam keadaan bersuci.

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Sesiapa yang tidur dalam keadaan suci, malaikat akan bersamanya di dalam pakaiannya. Dia tidak akan bangun hingga malaikat berdoa: “Ya Allah, ampunilah hamba-Mu si fulan kerana tidur dalam keadaan suci.”

2. Orang yang sedang duduk menunggu waktu solat.

Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: “Tidaklah salah seorang antara kalian yang duduk menunggu solat, selama ia berada dalam keadaan suci, kecuali kalangan malaikat akan mendoakannya: ‘Ya Allah, ampunilah ia. Ya Allah sayangilah ia.’”

3. Orang yang berada di saf depan solat berjemaah.

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat-Nya berselawat ke atas (orang) yang berada pada saf depan.”

4. Orang yang menyambung saf pada solat berjemaah (tidak membiarkan kekosongan di dalam saf).

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat selalu berselawat kepada orang yang menyambung saf.”

5. Kalangan malaikat mengucapkan ‘amin’ ketika seorang imam selesai membaca al-Fatihah.

Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: “Jika seorang imam membaca…(ayat terakhir al-Fatihah sehingga selesai), ucapkanlah oleh kamu ‘aamiin’ kerana sesiapa yang ucapannya itu bertepatan dengan ucapan malaikat, dia akan diampuni dosanya yang lalu.”

6. Orang yang duduk di tempat solatnya selepas melakukan solat.

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Kalangan malaikat akan selalu berselawat kepada satu antara kalian selama ia ada di dalam tempat solat, di mana ia melakukan solat.”

7. Orang yang melakukan solat Subuh dan Asar secara berjemaah.

Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: “Kalangan malaikat berkumpul pada saat solat Subuh lalu malaikat (yang menyertai hamba) pada malam hari (yang sudah bertugas malam hari hingga Subuh) naik (ke langit) dan malaikat pada siang hari tetap tinggal.

“Kemudian mereka berkumpul lagi pada waktu solat Asar dan malaikat yang ditugaskan pada siang hari (hingga solat Asar) naik (ke langit) sedangkan malaikat yang bertugas pada malam hari tetap tinggal lalu Allah bertanya kepada mereka: “Bagaimana kalian meninggalkan hamba-Ku?”

Mereka menjawab: ‘Kami datang sedangkan mereka sedang melakukan solat dan kami tinggalkan mereka sedangkan mereka sedang melakukan solat, ampunilah mereka pada hari kiamat.’”

8. Orang yang mendoakan saudaranya tanpa pengetahuan orang yang didoakan.

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Doa seorang Muslim untuk saudaranya yang dilakukan tanpa pengetahuan orang yang didoakannya adalah doa yang akan dikabulkan. Pada kepalanya ada seorang malaikat yang menjadi wakil baginya, setiap kali dia berdoa untuk saudaranya dengan sebuah kebaikan, malaikat itu berkata ‘aamiin dan engkau pun mendapatkan apa yang ia dapatkan.’”

9. Orang yang membelanjakan harta (infak).

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Tidak satu hari pun di mana pagi harinya seorang hamba ada padanya kecuali dua malaikat turun kepadanya, satu antara kedua-duanya berkata: ‘Ya Allah, berikanlah ganti bagi orang yang berinfak…’ “

10. Orang yang sedang makan sahur.

Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: “Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat-Nya berselawat kepada orang yang sedang makan sahur.”

11. Orang yang sedang menjenguk (melawat) orang sakit.

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Tidaklah seorang mukmin menjenguk saudaranya kecuali Allah akan mengutus 70,000 malaikat untuknya yang akan berselawat kepadanya di waktu siang hingga petang dan di waktu malam hingga Subuh.”

Sunday, January 2, 2011

NASIHAT KEPADA MATA HATI YANG BUTA

Mata hati ialah mata bagi hati atau boleh juga dikatakan kebolehan mengenal yang dimiliki oleh hati. Kadang-kadang mata hati ini dipanggil sebagai mata dalam. Istilah ‘mata dalam’ digunakan bagi membezakan istilah ini dengan mata yang zahir, iaitu yang dimiliki oleh diri zahir. Diri zahir terbentuk daripada daging, darah, tulang, sumsum, rambut, kulit dan lain-lain. Diri zahir ini berkebolehan untuk melihat, mendengar, mencium, merasa dan menyentuh. Pusat kawalannya ialah otak yang mengawal keberkesanan deria-deria dan juga mencetuskan daya timbang atau akal fikiran.

Apabila di dalam keadaan suci bersih ia dapat mendekati Tuhan. Ia juga yang menjadi tilikan Tuhan. Hati seni ini juga memiliki nyawa yang dibahasakan sebagai roh. Roh juga termasuk di dalam golongan Latifah Rabbaniah. Ia adalah urusan Tuhan dan manusia hanya mempunyai sedikit pengetahuan mengenainya.

Tubuh zahir mempunyai deria-deria untuk mengenal perkara zahiriah. Deria-deria tersebut dipanggil penglihatan, pendengaran, penciuman, perasaan dan penyentuhan dan alat-alat yang bersangkutan ialah mata, telinga, hidung, lidah, tangan dan lain-lain. Tubuh seni atau diri batin juga mempunyai deria yang mengenal perkara ghaib dan deria ini dinamakan basirah atau mata hati. Ia berbeza daripada sifat melihat yang dimiliki oleh mata zahir. Mata zahir melihat perkara zahir dan mata hati syuhud atau menyaksikan kepada yang ghaib.

Kekuatan suluhan mata hati bergantung kepada kekuatan hati itu sendiri. Semakin bersih dan suci hati bertambah teranglah mata hati. Jika ia cukup terang ia bukan sahaja mampu melihat kepada yang tersembunyi di sebalik rupa yang zahir di sekeliling kita malah ia mampu melihat atau syuhud apa yang di luar daripada dunia.

Dunia adalah segala sesuatu yang berada di dalam bulatan langit yang pertama atau langit dunia atau langit rendah. Langit rendah ini merupakan sempadan dunia. Selepas langit dunia dinamakan Alam Barzakh. Meninggal dunia membawa maksud roh yang rumahnya iaitu jasad telah tidak sesuai lagi didiaminya atau dipanggil sebagai mengalami kematian, dibawa keluar dari langit dunia dan ditempatkan di dalam Alam Barzakh.

Fungsi mata hati ialah melihat yang hakiki. Mata hati yang mampu melihat dunia secara keseluruhan sebagai satu wujud akan mengenali apa yang hakiki tentang dunia itu. Oleh sebab penyaksian mata hati bersifat tidak dapat dinyatakan secara terang maka ia memerlukan ibarat untuk mendatangkan kefahaman.

Ibarat yang biasa digunakan bagi menceritakan tentang hakikat dunia ialah: “Dunia adalah seorang perempuan yang sangat tua dan sangat hodoh. Tubuhnya kotor dan berpenyakit, menanah di sana sini dan ada bahagiannya yang sudah dimakan ulat ”. Begitulah lebih kurang perasaan orang yang melihat kepada hakikat dunia dengan mata hatinya. Bagaimana rupa hakikat yang menyebabkan timbul perasaan dan ibarat yang demikian tidak dapat dihuraikan.

Mata hati yang lebih kuat mampu pula menyaksikan Alam Barzakh dan mengenali satu lagi hakikat yang dinamakan keabadian, iaitu sifat hari akhirat. Kematian membinasakan jasad dan kiamat membinasakan alam seluruhnya tetapi tidak membinasakan Roh yang padanya tergantung kitab amalan masing-masing. Ahli maksiat tidak dapat diselamatkan oleh kematian dan kiamat. Ahli taat yang tidak mendapat ganjaran yang setimpal di dunia tidak binasa ketaatannya oleh kematian dan kiamat.

Tanggungjawab seseorang hamba akan terus dipikulnya melepasi kematian, Alam Barzakh, kiamat, Padang Mahsyar dan seterusnya menghadapi Pemerintah hari pembalasan. Tanggungjawab itu hanya gugur setelah Hakim Yang Maha Bijaksana dan Maha Adil lagi Maha Mengetahui serta Maha Perkasa menjatuhkan hukuman.

Mata hati berfungsi mengenal perkara yang ghaib. Makrifat atau pengenalan kepada keabadian atau hari akhirat akan melahirkan kesungguhan pada menjalankan amanat Allah s.w.t iaitu mengerjakan perintah-perintah-Nya dan menjauhi larangan-larangan-Nya.

Makrifat mata hati yang demikian melahirkan sifat takwa dan beramal salih. Apabila takwa dan amal salih menjadi sifat seorang hamba maka masuklah hamba itu ke dalam jaminan Allah s.w.t.

Dialah Tuhan yang memperlihatkan kepada kamu tanda-tanda keesaan-Nya dan kekuasaan-Nya (untuk menghidupkan rohani kamu), dan yang menurunkan (untuk jasmani kamu) sebab-sebab rezeki dari langit. Dan tiadalah yang ingat serta mengambil pelajaran (dari yang demikian) melainkan orang yang sentiasa bertumpu (kepada Allah). ( Ayat 13 : Surah al-Mu’min )

Allah s.w.t berfirman dalam Hadis Qudsi:

Hamba-Ku, taatilah semua perintah-Ku, jangan membeber keperluan kamu.

Hamba yang buta mata hatinya akan melakukan perkara yang berlawanan iaitu dia tekun dan rajin di dalam mencari rezeki yang dijamin oleh Allah s.w.t tetapi dia mencuaikan terhadap tanggungjawab yang diamanatkan oleh Allah s.w.t. Orang ini akan menggunakan daya usaha yang banyak untuk memperolehi rezeki yang boleh didapati dengan daya usaha yang sederhana tetapi menggunakan daya usaha yang sedikit dengan harapan untuk mendapatkan sesuatu yang tidak mungkin didapati kecuali dengan daya usaha yang gigih dan perjuangan yang hebat iaitu pahala-pahala bagi amal salih.


Saturday, January 1, 2011

4 Jenis Bisikan Hati

4 Jenis Bisikan Hati

  1. Bisikan pertama dinamakan khatir خاطر (bisikan hati ),datang daripada Allah SWT yang dipenuhi dengan kebaikan dan ianya adalah hujjah untuk kita.
  2. Bisikan hati yang biasa diterima oleh manusia.
  3. Bisikan daripada Malaikat Mulhin, bisikan membawa kebaikan,ianya adalah penasihat kepada kita yang boleh dipanggil juga إرشاد.
  4. Bisikan syaitan yang dinamakan waswasah خاطر النفس merupakan keburukan yang menghalang kebaikan dan menyesatkan.

Wasiat Imam Ghazali. m/s: 132.